GURU CEMERLANG KONGSI KEPAKARAN

Oleh AZMY MOHAMED

pendidikan@utusan.com.my

SEREMBAN – Pendidikan alaf 21 memerlukan guru berkualiti yang kreatif dan inovatif dalam menyempurnakan tugas serta tanggungjawabnya. Bukan pedagogi yang sama dan statik. Guru bersyarah murid mendengar.

Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah perlu bersifat dua hala, menarik dan seronok supaya ia memberi impak positif yang berkekalan.

Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (NS), Kalsom Khalid menyarankan kepada para pendidik supaya tidak terlalu rutin dan fokus kepada domain kognitif sahaja iaitu memberi fakta dan pengetahuan sebanyak mungkin semasa di dalam kelas.

Menurut beliau, guru sepatutnya turut menekankan domain yang lain – efektif dan psikomotor – dalam P&P supaya modal insan yang dihasilkan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Domain efektif melibatkan penerapan nilai murni dan sikap yang baik manakala domain psikomotor pula tentang penglibatan pelajar dalam aktiviti yang berbentukhands-on,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada penutupan program Karnival P&P Berkesan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Seremban dan Majlis Guru Cemerlang NS di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tuanku Jaafar di sini baru-baru ini.

Karnival yang mengumpulkan 350 guru ini mendapat penajaan daripada Menteri Besar NS, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Program berbentuk mentor mentee ini memberi peluang kepada guru cemerlang berkongsi kepakaran, teknik dan pengetahuan dengan guru biasa. Ia merupakan salah satu pendekatan untuk memenuhi aspirasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam meningkatkan kualiti guru.

Selain pendekatan itu, kata Ketua Sub Unit NKRA Kualiti Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr. Zaida Mustafa, 40,000 guru sedia ada akan dinaik taraf, dilengkapi kemahiran baru atau diberi penempatan semula.

Manakala proses kemasukan pula, jelas beliau, akan diperketatkan dan mungkin diswastakan jika ada keperluan.

“Lepasan ijazah dengan Gred Purata Akumulatif Terkumpul (CGPA) 2.7 sahaja yang akan dipilih untuk mengambil diploma pendidikan,” katanya.

Zaida memberitahu, laluan kerjaya akan dipercepatkan berdasarkan kompetensi, prestasi dan kebolehan bukannya tahun perkhidmatan supaya guru lebih bermotivasi.

Sementara itu, Guru Cemerlang Gred Khas C Subjek Sains, Datin Rabiah Hussain mendedahkan resipi rahsianya, teknik Look All kepada peserta program berkenaan.

Teknik itu, katanya, membolehkan guru mendidik pelajar cara untuk mendapatkan semua maklumat dan kunci jawapan hanya daripada soalan.

“Bagaimanapun, ia hanya sesuai untuk subjek Sains sahaja,” jelasnya.

Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Suwaibah Jalel berkata, pendekatan secara amali dan praktikal memudahkan pelajar menghayati sesuatu ilmu itu sama ada untuk peperiksaan mahupun amalan harian.

“Misalnya untuk topik haji, pelajar mengerjakan ibadat itu menggunakan replika dan peralatan yang disediakan,” kata guru Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Jaafar, Kuala Pilah ini.

Manakala, Guru Cemerlang Bahasa Inggeris, Fadilah Yaacob pula menggunakan pendekatan P&P yang berbeza mengikut keperluan dan potensi pelajar.

Beliau mengasingkan pelajar kepada tiga kumpulan – lemah, sederhana dan pandai.

“Setiap kumpulan akan melantik seorang ketua yang akan mengajar topik yang ditetapkan,” jelas beliau.

P&P berbentuk dua hala yang melibatkan rakan sebaya lebih mudah difahami dan amat efektif, kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti ini.

Bagi Abdul Latif Ismail, pembelajaran berfikrah yang melibatkan lima deria (hands-on), minda (minds-on) dan jiwa (hearts-on) akan memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep sains dan kegunaannya dalam kehidupan seharian.

Kata Guru Cemerlang Fizik ini, melalui kaedah tersebut konsep yang susah menjadi mudah dan ia menggalakkan soal jawab yang aktif antara pelajar dan guru.

Dalam pada itu, ahli Majlis Guru Cemerlang NS turut membangunkan blog masing-masing yang diisi dengan bahan P&P yang boleh dimuat turun secara percuma.

Salah seorang daripada pengendali blog yang aktif, Zahuren Abdul Kadir, menyediakan bahan P&P subjek Bahasa Inggeris dalam format Powerpoint, Pdf dan Microsoft Word.

“Bahan yang disediakan sesuai untuk guru dan juga untuk kegunaan pelajar,” kata Guru Cemerlang Bahasa Inggeris SMS Seremban ini.

Blog beliau boleh dilayari di www.zahuren.wordpress.com.


 

Rss Feed twitter facebook

Copyright © 2012 , All Rights Reserved

Designed by Electronic Cigarette Reviews, & Download Free Wp Themes, Free wordpress themes, Free wp themes

Penafian: wwww.cikgufizik.com adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yg disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yg diperolehi daripada blog ini.