MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS M

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan

 

 

 

SOALAN LAZIM BERKAITAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Jawapan
1.    Apakah itu Dasar MBMMBI?
Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.
2.    Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?
Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.
Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebngsaan Tamil.
3.    Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?
Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p, transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.
4.    Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?
Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.
5.    Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?
Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.
6.    Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?
KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
a.  Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
b.  Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
c. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyenbahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
d. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5
BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:
Latihan untuk bahasa Malaysia:
                      i.        Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
                     ii.        KDP 4 Minggu
                    iii.        Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Latihan untuk bahasa Inggeris:
                      i.        Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
                     ii.        Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
                    iii.        Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris
7.    Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti? (BPG/ELTC/IPGM)
Institut Pendidikan Guru
a.    IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
b.    “Teacher Study“ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
c.    Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
d.    Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.
Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
Praktikum – 3 kali praktikum :
a.    Semester 5 – 4 minggu
b.    Semester 6 – 8 minggu
c.    Semester 7 – 12 minggu
d.    Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.
Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru bahasa Inggeris.
Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.
Bersambung…….
Sumber KPM
Rss Feed twitter facebook

Copyright © 2012 , All Rights Reserved

Designed by Electronic Cigarette Reviews, & Download Free Wp Themes, Free wordpress themes, Free wp themes

Penafian: wwww.cikgufizik.com adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yg disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yg diperolehi daripada blog ini.