5 Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia(PPPM2013-2025)

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merupakan pelan yang telah dibuat selepas Kementerian Pendidikan Malaysia membuat kajian semula secara menyeluruh mengenai sistem pendidikan di Malaysia pada Oktober 2011.

Keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan dibuat dalam konteks standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21, dan peningkatan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara.

Dalam tempoh 15 bulan (Oktober 2011 hingga Disember 2012), Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh negara.

Hasilnya ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan.

Objektif PPPM

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil pelibatan masyarakat dan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (“Kementerian”). Pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus:

  1. Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem.
  2. Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang.
  3. Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam.

Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.

5 aspirasi sistem
  1. Akses

Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.

2. Kualiti

Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa. Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.

3. Ekuiti

Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.

4. Perpaduan

Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan. Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan Malaysia. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

5. Kecekapan

Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Rss Feed twitter facebook

Copyright © 2012 , All Rights Reserved

Designed by Electronic Cigarette Reviews, & Download Free Wp Themes, Free wordpress themes, Free wp themes

Penafian: wwww.cikgufizik.com adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yg disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yg diperolehi daripada blog ini.