15,793 lulus gred A semua mata pelajaran

 Tahniah kepada semua pelajar SPM2012 yang telah berjaya dengan cemerlang. Jutaan penghargaan buat semua pendidik yg telah bertungkus lumus memberikan didikan serta bimbingan yang sangat gigih untuk pelajar-pelajar. Bagi pelajar yang kurang berjaya dalam SPM2012 ini jangan mudah berputus asa. Usahalah dengan lebih gigih selepas ini kerana pintu-pintu kejayaan masih menunggu anda…:-)

Shaarani Ismail | shaarani@mediaprima.com.my

Pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah, Zulafifi Abd Rahman dijulang rakan sekolahnya sejurus menerima keputusan cemerlang dengan 9A+ untuk semua mata pelajaran.

Putrajaya: Seramai 15,793 daripada 472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran diduduki, mencatatkan peningkatan 0.13 peratus berbanding 15,079 calon pada 2011.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata daripada jumlah itu, 13,721 yang mendapat semua A adalah calon dari sekolah Kementerian Pelajaran, meningkat 0.16 peratus berbanding 12,970 2011.

“Selebihnya iaitu 2,072 adalah calon dari sekolah bukan kementerian yang mencatatkan penurunan 0.14 peratus berbanding 2,109 calon pada 2011.

“Lima pelajar berkeperluan khas turut mendapat keputusan cemerlang semua A dan ini membuktikan semua calon berpeluang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya pada sidang media mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2012, di sini semalam.

Tambah beliau, berdasarkan ukuran Gred Purata Nasional (GPN) dengan kiraan nilai yang semakin mengecil, prestasi ditunjukkan semakin baik dengan pencapaian calon bandar menurun 0.16 mata daripada 4.67 pada 2011 kepada 4.83 mata tahun lalu.

“Pencapaian calon luar bandar juga menurun 0.05 mata daripada 5.39 mata kepada 5.44 mata pada 2011. Bagaimanapun, penurunan calon luar bandar dilihat lebih kecil berbanding calon bandar dengan jurang pencapaian antara kedua-duanya mengecil sebanyak 0.11 mata,” katanya.

Ghafar menjelaskan, prestasi 51 mata pelajaran yang diambil meningkat dan 54 mata pelajaran menurun manakala tiga mata pelajaran kekal.
Prestasi Bahasa Inggeris turun

Beliau berkata, prestasi dua daripada tujuh mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Pendidikan Moral meningkat, manakala prestasi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Bahasa Inggeris menunjukkan penurunan.

Katanya, keputusan mata pelajaran Bahasa Inggeris menunjukkan penurunan, namun 229,009 atau 51.1 peratus calon sekolah KPM dan bukan KPM yang menduduki peperiksaan Bahasa Inggeris (1119) SPM berjaya memperoleh sijil GCE O-Level.

Mengenai penurunan pencapaian GPN sebanyak 0.04 mata, Ghafar berkata ia disebabkan bilangan mata pelajaran yang prestasinya menurun melebihi mata pelajaran meningkat, meskipun jumlah pelajar cemerlang meningkat.

Sejumlah 472,541 calon menduduki peperiksaan SPM yang diadakan antara 5 November hingga 6 Disember tahun lalu berbanding 468,808 calon pada tahun sebelumnya.

Sumber daripada : Berita Harian Online

Rss Feed twitter facebook

Copyright © 2012 , All Rights Reserved

Designed by Electronic Cigarette Reviews, & Download Free Wp Themes, Free wordpress themes, Free wp themes

Penafian: wwww.cikgufizik.com adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yg disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yg diperolehi daripada blog ini.